SEJARAH UPSI
Pendahuluan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi
pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan
negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej ke
sebuah universiti. Agak menarik apabila meneliti tahap perkembangan
institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama,
mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama.
Secara kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC (29
November 1922 - 1957), era MPSI (1957 - 1987) dan era IPSI (21 Februari
1987 - April 1997). Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi
pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun.
Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah
universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah
Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah
Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan
P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Genap usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997
dengan langkah yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi
dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah
kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24
Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997, tertubuhlah Universiti
Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan nama singkatannya
UPSI.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula beroperasi pada 2 Mei
1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang. Datuk Dr. Ashari Che Mat telah
dilantik sebagai Naib Canselor Pertama manakala Profesor Dr. Abu Bakar
Nordin (kini bergelar Dato’) sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik.
Mereka dibantu oleh Encik Sayuti Sahlan, Encik Yusof Semahil dan Encik
Rusley Taib untuk membangunkan UPSI dalam serba kekurangan.
Berbekalkan enam orang kakitangan pentadbiran dan 29 orang tenaga
akademik yang kebanyakannya dipinjamkan dari pelbagai agensi Kementerian
Pendidikan Malaysia, UPSI mengorak langkah ke gelanggang pendidikan
dengan semangat dan cita-cita murni. Ternyata, tidak mudah bagi UPSI
menarik nafas lega, kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Kekentalan semangat dan iltizam beserta dorongan Kementerian Pendidikan,
UPSI menapak langkah demi langkah membina kekuatan diri berdiri atas
kemampuan sendiri yang akhirnya berjaya menempatkan dirinya seiring
dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang lain waktu ini.
Pembangunan infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori
pada tahun 1999 dan Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu. Pada awal
tahun 2001, pembangunan semakin rancak dilaksanakan dengan pembinaan
Gimnasium, Perpustakaan, Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik,
dewan-dewan kuliah dan lain-lain. Beberapa kemudahan sedia ada yang
merupakan warisan SITC-MPSI-IPSI dibaik pulih dengan beberapa
pembaharuan, sesuai dengan kemajuan teknologi di samping mengekalkan
struktur asalnya. Pembangunan yang rancak ini telah menampilkan imej
UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi. Nama UPSI terpancar
sebagai simbol keunggulan institusi ini sebagai sebuah universiti yang
sepenuhnya menawarkan program pengajian pendidikan baik di peringkat
ijazah sarjana muda mahupun lanjutan.
Pada awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang
menawarkan sepuluh program pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah
Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, Fakulti Sains dan
Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Jumlah
program pengajian bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, dua
buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan
Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah fakulti
sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat
ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang
dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian
bertambah.
Sehingga kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70 Program Doktor Falsafah).
Sehingga kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70 Program Doktor Falsafah).

No comments:
Post a Comment